اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ “Sesiapa bersolat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” – Hadis riwayat Imam Muslim

Sunday 5 August 2012

Dia yang kacak, bergaya dan tampan :D

Dia yang kacak, bergaya dan tampan

Alhamdulillahx3!. Segala pujian bagi Allah.  Dengan taqdir Allah saya telah dipertemukan dengan sebuah buku sirah hasil  terjemahan daripada kitab Rijal Haul al –Rasul hasil tulisan ahli sejarah kontemporer Dr.Khalid Muhammad Khalid manakala penterjemah kitab ini ialah Abu Mazaya Al-Hafiz. Pada asalnya kitab sirah ini hanya memuatkan 60 kisah sahabat sahaja tetapi di atas usaha mulia penterjemah, beliau telah membuat penambahan dan akhirnya terdapat 133 kisah shabat di dalam buku ini. Tambahan telah dibuat oleh penterjemah dengan memetik kisah sahabat dari kitab-kitab sirah yang muktabar seperti kitab Sirah Ibn Hisyam, Tarikh al-Khulafa’, al-Maghazi, Fiqh Al-Sirah, Tarikh al-Kamil Ibn Athir, Tarikh al-Thabari, Al-‘Awashim min al Qawashim, Syuhada’ Al Islam fi’ Ahd al-Nubuwwah oleh Dr. Ali Sami al-Nasyar dan lain-lain. Justeru itu, saya sangat berbesar hati untuk berkongsi kisah-kisah sirah sahabat ini kerana tidak semua berpeluang untuk membaca buku sirah ini. dengan cara penulisan yang lebih mudah untuk dibaca tanpa mengubah isi teks asal. Semoga penulisan ini diredhai Allah serta bermanfaat kepada pembaca dan akhirnya membantu kita untuk berubah menjadi insan yang lebih baik dengan mencontohi para sahabat. 

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:  
“sahabat-sahabatku bagaikan bintang-bintang kepada sesiapa pun, engkau ikutlah nescaya engkau akan mendapat petunjuk”.

Mush’ab bin Umair  remaja Quraisy yang kacak bergaya, tampan dengan takwa, kemilau dengan semangat muda



“Jangan percaya pada pendusta itu. Dia juga seorang penyihir! Apa yang disampaikan itu hanyalah syair rekakan dia sendiri. Dia seorang lelaki gila! Selama ini kita hanya menyembah Tuhan nenek moyang kita dan kini dia mahu kita mengikut agamanya. Ini benar-benar melampau!”

“Tetapi, dia kan tidak pernah berbohong sejak dari kecil? Malah, kita semua yang memberinya gelaran Al-Amin.”

Pada ketika itu, bumi Mekah gempar dengan tindakan Al-Amin yang mengajak penduduk Mekah meninggalkan agama nenek moyang dan mengikuti agamanya. Agama baru yang dibawa oleh Al-Amin itu menjadi perbualan masyarakat Mekah hampir setiap kali mereka berkumpul. Dan setiap perkumpulan itu, hadirnya pemuda seorang tampan. Anak kesayangan Khunas ini bernama Mush’ab Bin Umair.

Mush’ab bin Umair merupakan salah seorang para sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang terkemuka. Dia ialah remaja Quraisy paling kacak dan tampan, penuh dengan jiwa dan semangat muda. Para muarrikh dan ahli riwayat memetik semangat kemudaannya dengan berkata,

“Seorang warga kota Mekah yang mempunyai nama yang paling harum”.

Ia lahir dan dibesarkan di dalam kesenangan dan kemewahan. Mungkin tidak seorang pun di antara anak-anak muda Mekah yang beruntung dimanjakan oleh kedua ibubanya sepertimana yang di alami oleh Mush’ab bin Umair r.a. Beliau adalah anak muda yang serba cukup, biasa hidup mewah dan manja. Kerana itu dia menjadi buah bibir gadis-gadis Mekkah dan menjadi bintang di tempat-tempat perjumpaan ibarat selebriti di zaman ini Apatah lagi setelah keislamannya, ia meningkat sehingga menjadi buah  cerita tentang kegigihan imanya, menjadi tamsil dan teladan di dalam semangat kepahlawannya.

Riwayat mush’ab bin umair adalah sangat mempesona. Mush’ab yang baik adalah salah satu di antara peribadi-peribadi muslimin yang ditarbiyah dengan didikan secara lansung oleh Rasulullah S.A.W. Beliau tertarik dengan apa yang diperkatakan oleh penduduk Mekkah tentang agama baru yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. Disebabkan rasa keinginan yang tinggi lalu pada suatu hari, Mush’ab secara senyap-senyap bergerak menuju ke rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam untuk mendengar agama baru itu. Baru sahaja Mush’ab mengambil tempat duduknya, ayat-ayat Al-Quran mulai mengalir dari kalbu Rasulullah S.A.W bergema melalui kedua bibirnya dan sampai ke telinga, meresap ke dalam hati para pendengar. Mush’ab terpesona dengan ayat-ayat itu dan hampir sahaja anak muda itu terangkat dari tempat duduknya kerana terasa haru, dan seakan-akan terbang gembira. Tetapi Rasulullah S.A.W menguhulrkan tangan baginda yang penuh berkat dan kasih sayang lalu mengurut dada pemuda yang sedang panans bergelojak, hingga tiba-tiba menjadi lubuk hati yang tenang  dan damai, tak ubahnya bagaikan lautan yang teduh dan sangat dalam

Sejak keislamannya, beliau merasakan kehidupannya lebih tenang dan menggembirakan dan ketenangan serta kegembiraan itu tidak pernah dialaminya selama ini walaupun hidupnya dilimpahi kekayaan dan kasih sayang.
Namun di dalam ketenangan itu terbit kerisauan Mush’ab terhadap ibunya. Ibunya kuat pendiriannya dan beliau sangat disegani oleh penduduk Mekah bahkan ditakuti. Mush’ab khuatir tindakan yang akan di ambil terhadap dirinya jika ibunya mengetahui keislamannya ini. Sejak keislamannya itu, Mush’ab sering mengjunjungi rumah Al-Arqam untuk mendengar pengajaran daripada Rasululullah S.A.W. Walaupun begitu, dengan keadaan Mekah yang sedang dikejutkan dengan kemunculan agama baru maka orang Quraisy sentiasa berjaga-jaga dan memerhatikan mereka yang berkelakuan tidak seperti biasa. Suatu hari, rahsia keislaman Mush’ab tidak mampu ditutup lagi. Kebetulan seorang Quraisy yang bernama Usman bin Thalhah melihat Mush’ab masuk ke rumah Arqam dan pada waktu yang lainya pula beliau ternampak Mush’as bersolat seperti Muhammad S.A.W. Maka tanpa berlengah lagi terus dikhabarkan apa yang telah dilihatnya kepada Khunas binti Malik iaitu ibu kepada Mush’ab.

Apalagi naik marah Khunas apabila mendengar perkhabaran Usman itu. Sebaik Mush’ab berada  dirumah ibunya terus bertanya untuk memastikan berita yang disampaikan Usman. Jadi, tatkala ditanya akan persoalan itu, Mush’ab merasakan dia tidak lagi mampu menyimpan rahsia keislamannya. Maka, dihadapan ibunya dan juga keluarga serta para pembesar Mekkah yang berhimpun dirumahnya Mush’ab dengan hati yang yakin akan agama Muhammad itu membacakan beberapa ayat Al-Quran yang di ajarkan oleh Rasulullah untuk membersihkan hati nurani mereka dan memberi ketenangan dari amarah yang melanda.
Dengan perasaan yang marah dan geram ibu Mush’ab mengangkat tangannya untuk menutup mulut anaknya dari meneruskan bacaan itu. Tetapi, tidak semena-mena, tangan Khunas jatuh lemah terkulai apabila mendengar bacaan tersebut dan melihat nur memancar dari wajah Mush’ah yang sudah sedia indah. Disebabkan Khunas tidak sanggup memukul anak yang dimanjakan sejak dari kecil lalu beliau mengambil tindakan untuk mengurung Mush’ab di dalam bilik. Disebabkan itu, Mush’ab tidak lagi mampu mendengar pengajaran Rasululah di rumah Arqam sehinggalah beliau mendengar tentang berita orang Islam yang akan berhijrah ke Habsyah.
Mush’ab tidak dapat duduk diam apabila mendengar umat Islam Mekkah akan berhijrah ke Habsyah. Beliau juga ingin mengikuti mereka kerana keadaan di Mekah tidak selamat lagi untuknya bahkan tidak memberinya kebebasan untuknya memahami Islam dengan lebih mendalam. Tetapi apakan daya kini beliau dikurung oleh ibunya. Jadi Mush’ab perlu memikirkan muslihat untuk memboloskan dirinya. Akhirnya beliau berjaya mengaburi ibu dan penjaga-penjaganya, lalu pergi ke Habsyah bagi mencari perlindungan di sana. Di Habsyah, Mush’ab telah tinggal bersama-sama dengan saudaranya kaum muhajirin. Kemudian selepas seketika Mush’ab pulang semula ke Mekkah dan berhijrah semula ke Habsyah untuk kali ke-2 nya atas arahan Rasulullah S.A.W. Walaupun begitu, seksaan ke atas Mush’ab tidak lepas dari ujian dan penderitaan tetapi beliau banyak belajar dari Rasulullah. Jadi lama kelamaan penderitaan dan ujian itu berjaya diharungi.

Ketika pulang dari Habsyah semasa hijrah pertama, ibunya masih lagi cuba untuk mengurungnya akan tetapi Mush’ab menyatakan kesungguhannya untuk membunuh orang suruhan ibunya jika cuba untuk mengurung beliau lagi. Disebabkan kesungguhan itu, ibunya berputus asa untuk mengurungnya lagi. Akhirnya kegigihan untuk mempertahankan iman berjaya mengalahkan kegigihan kekafiran di pihak ibunya. Ibunya terpaksa menerima keputusan anak yang disayangnya itu. Ibunya berkata 

Pergilah sesuka hatimu! Aku bukan ibumu lagi” Mush’ab menghampiri ibunya dan  berkata :

Wahai ibunda! Telah anakanda sampaikan nasihat pada ibunda, dan anakanda menaruh kasihan pada bunda. Kerana itu saksikanlah bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusanNya.”

Dengan marah Khunsa membalas kata-kata anaknya,

“Demi bintang! Sekali-kali aku tidak akan masuk ke dalam agamamu itu. Otakku boleh jadi rosak dan buah fikiranku tidak akan diindahkan oleh orang lain.”

Bayangkan, kedua-dua hati terluka. Bagi ibu Mush’ab, beliau sedih dan kecewa anaknya telah sesat dari agama nenek moyang sedangkan kesedihan Mush’ab lebih memeritkan kerana ibunya menolak kebenaran dan mempertahankan kebatilan.
Ujiannya yang sangat hebat ini berjaya dilaluinya. Beliau memilih keimanan berbanding ibunya dan kemewahan hidup. Ibunya mengambil semua kemewahan yang telah diberikan dan ia bukanlah menjadi masalah kepada Mush’ab kerana hatinya telah dipenuhi dengan keimanan dan tiada yang diinginanya melainkan redha Ilahi dan syurgaNya. 

Pada suatu hari, Mush’ab muncul dihadapan beberapa orang Muslimin yang sedang mengelilingi Rasulullah S.A.W dan sebaik sahaja mereka melihat Mush’ab semua menundukkan kepala dan memejamkan mata. Ada di antara mereka yang menitiskan air mata melihatkan keadaan Mush’ab itu. Ini kerana mereka melihat Mush’ab memakai jubbah yang bertampal tampal, sedangkan sebelum beliau masuk Islam pakaiannya indah dan berbau wangi. Subhanallah! Lihatlah pengorbanan yang dilakukan oleh Mush’ab. Tidak terliur beliau dengan nikmat kekayaan dunia bahkan kekayaan yang dimiliki seblum ini tidak mampu menandingin kekayaan imannya.

Adapun begitu, Rasulullah S.A.W menatapnya dengan pandnagan penuh erti, disertai kasih dan syujur di dalam hati baginda. Maka keluarlah ucapan dari bibir Rasulullah S.A.W,

“Dahulu saya melihat Mush’ab ini tiada orang yang menandingi dalam memperolehi kesenangan dari orang tuanya, kemudian ditinggalkannya semua itu demi cintanya kepada Allah dan rasulNya.”

--------------------------------------
MasyaAllah..
Sejak ibunya berputus asa untuk memaksanya meninggalkan Islam, Khunas telah mengambil dan memberhentikan semua harta yang diberikannya kepada Mush’ab bahkan Khunas juga tidak membenarkan orang yang telah mengingkari berhala ini untuk menjamah nasinya. Sebaliknya ia patut mendapat kutukan walaupun anak kandungnya sendiri. Lihatlah betapa  dasyatnya dugaan Mush’ab. Orang yang disayangi kini membencinya. Kehidupan yang dilimpahi harta bertukar sekelip mata.
Demkianlah Mush’ab bin Umair meninggalkan kemewahan dan kesenangan yang dialaminya selama ini dan kini memilih hidup miskin dan sengsara. Pemuda kacak itu, kini telah menjadi seorang fakir dengan pakaiannya yang kasar dan usang, sehari makan dan beberapa hari menderita lapar. Tetapi jiwanya yang telah dihiasi dengan akidah suci dan cemerlang berkat Nur Ilahi telah merubah dirinya menjadi seorang manusia lain iaitu manusia yang dihormati, penuh wibawa dan disenangi.
Perjuangan menyampaikan kebenaran diteruskan oleh Mush’ab. Beliau telah dipilih oleh Rasulullah S.A.W untuk menjadi duta Islam pertama di Madinah untuk mengajar orang-orang Anshar yang telah  berbai’ah kepada Rasulullah S.A.W semasa perjanjian Aqabah yang pertama di Bukit Aqabah. Walaupun ketika itu terdapat sahabat yang lebih tua, lebih berpengaruh dan lebih dekat hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah S.A.W, namun baginda memilih Mush’ab yang baik. 
Mush’ab telah menjalankan amanah yang diberikan sebaik mungkin. Allah telah menganugerahkan kepada Mush’ab akal yang cerdas dna budi pekerti yang luhur. Dengan sifat zuhud, kejujuran dan kesungguhan hati, ia berjaya melunakkan dan menawan hati penduduk Madinah hingga ramai yang memeluk Islam walaupun pada mulanya menentang seperti Ushaid Bin Hudhair dan Saad Bin ‘Ubadah dimana selepas keislaman mereka telah menyerahkan kehidupan mereka demi Islam.

Dengan taqdir Allah, maka semasa perang Uhud, pemuda ini berjaya mendapatkan syahid yang di impikannya.
Berkata ibnu Sa’ad “Diceritakan kepada kami oleh Ibrahim bin Muhammad bin Syurahbil al-Abdari dari bapanya ia berkata:

"Mush’ab bin Umair adalah pembawa bendera di perang Uhud. Tatkala barisan kaum Muslimin pecah, Mush’ab bertahan pada kedudukannya. Datanglah seorang musuh berkuda, Ibnu Qumaiah namanya lalu menebas tangannya hingga putus."

Sementara Mush’ab mengucapkan,

“Muhammad itu tiada lain hanyalah seorang Rasul yang sebelumnya telah didahului oleh beberapa Rasul.” 

"Lalu orang berkuda itu menyerangnya ketiga kalinya dengan tombak, dan menusuknya hingga tombak itu pun patah. Mush’ab pun gugur dan benderanya jatuh."

Setelah perang tamat, jasad Mush’ab telah ditemui di dalam keadaan wajahnya menelengkup ke tanah digenangi darahnya yang mulia. Rasulullah S.A.W dan para sahabat datang memerikasa medan pertempuran untuk menyampaikan perpisahan kepada para syuhada’. Ketika sampai di tempat terbaringnya jasad Mush’ab bercucurlah air mata mereka.

Berkata Khabbah Ibn Urrat:

“Kami hijrah di jalan Allah S.W.T bersama Rasulullah S.A.W dengan mengharap keredhaanNya sehingga pastilah sudah pahala disisi Allah S.W.T di antara kami yang telah berlalu sebelum menikmtai pahalanya di dunia ini sedikit pun juga. Di antaranya ialah Mush’ab bin Umair yang tewas di medan Uhud. Tidak sekalipun kain untuk menutupinya selain sehelai Burdah. Andainya ditaruh di atas kepalnya, maka terbukalah kepalanya. 

Maka sabda Rasulullah S.A.W,

“Tutupkanlah pada bahagian kepalanya, dan kakinya tutupilah dengan rumput zikir.”

Ketika Rasullah S.AW berdiri dihadapan jasad Mush’ab baginda membacakan ayat daripada surah Al-Ahzab yang berbunyi:

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah untuk berjuang membela Islam. Maka di antara mereka ada yang telah selesaikan menjalankan janjinya itu lalu gugur syahid dan di antaranya ada yang menuggu giliran dan mereka pula tidak mengubah apa yang telah mereka janjikan itu sedikitpun. Berlakunya yang sedemikian itu supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Dia kehendaki atau Dia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani(Al-Ahzab:23-24)

Kemudian dengan perasaan terharu pandangan mata baginda tertuuju kea rah Burdah yang digunakan untuk menutup jasad Mush’ab lalu Baginda bersabda: 

Ketika di Mekkah, tidak seorang pun yang aku lihat yang lebih halus pakaiannya dan lebih rapi rambutnya dari mu. Tetapi sekarang ini, dengan rambutmu yang kusut masai hanya dibalut sehelai burdah”.

Wallhualam….

.:Waktu yang tinggal:.


Get your own Digital Clock