Sabda
Rasulullah S.A.W “Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ada segumpal daging. Apabila
daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik dan apabila segumpal daging itu rosak,
maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, dia itu adalah hati.” (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Dulu..saya
hanya membaca hadis ini tanpa mengerti maksud sebenar di sebaliknya. Ya..hadis
ini mudah difahami, bila dibaca kita tahu bahawa hadis ini menceritakan tentang
hati, jantung hati”. Tetapi, tahukah anda.. Rasulullah sedang memberitahu kita
sesuatu yang amat penting melalui hadis yang straight to the point ini.
alhamdulillah..perkenalan dengan hadis ini
membuatkan saya cuba untuk mengenali dia, si jantung hati.^_^
Di
dalam masyarakat Melayu, kita menterjemahkan qalb di dalam hadis ini sebagai
hati, sedangkan qalb yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah jantung. Sebenarnya
hati di dalam bahasa arab adalah kabid. Sebab itu di dalam bahasa inggeris
jantung diterjemahkan sebagai heart sedangkan hati adalah liver. Jadi jika anda
menyebut “u are in my heart” bermakna
anda memaksudkan bahawa “anda di dalam
jantung saya”. Ini bermakna bahasa melayu telah melakukan kesilapan di
dalam menterjemahkan perkataan Qalb yang digunakan di dalam hadis ini.
Jadi
sepatutnya hadis itu diterjemahkan begini
“Ketahuilah
bahawa di dalam tubuh ada segumpal daging. Apabila daging itu baik, maka
seluruh tubuh itu baik; dan apabila segumpal daging itu rosak, maka seluruh
tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, dia itu adalah jantung hati”.
Untuk
entri ini saya akan menggunakan perkataan jantung hati agar anda lebih selesa
dan biasa dengan term tersebut. Kalau di ikutkan jantung hati saya ini banyak
sangat yang saya mahu kongsikan dengan anda tentang jantung hati tapi dikhuatiri
entri saya ini akan menjadi terlalu panjang sehingga bisa menjadi sebuah buku.
Jadi, untuk permulaan saya akan merangkumkan beberapa point penting sebagai
pengenalan yang panjang.
Di dalam hadis ini, Rasulullah menceritakan
tentang segumpal daging iaitu jantung hati. Di dalam diri insan ada 2 jantung
iaitu organ yang amat penting untuk proses pernafasan dan pengepaman darah
keseluruh anggota badan dan jantung rohani. Ya, memang tidak dapat dinafikan
jika jantung kita bermasalah ianya akan memberi kesan kepada kesihatan dan
tubuh badan kita, begitu juga jantung hati rohani atau jantung spiritual. Jika
jantung rohani kita bermasalah maka ianya akan terpamer melalui tingkahlaku
kita secara amnya dan ibadat secara khususnya.
Insan
yang memiliki organ jantung yang sihat tidak semestinya mempunyai jantung
rohani yang sihat dan insan yang memiliki jantung yang tidak sihat seperti
sakit jantung, lemah jantung dan penyakit yang seangkatan dengannya mungkin
mempunyai jantung spiritual atau jantung rohani yang sihat.
“iaitu pada hari ketika harta benda dan anak –anak
tidak berguna. Kecuali sesiapa yang datang kepada Allah dengan jantung hati
yang sejahtera” (Al-Syu’ara’:88-89).
Tahukah
anda ciri-ciri jantung hati yang sejahtera atau Qalb salim yang disebut di
dalam ayat di atas?
Menurut
ibnu Qayyim qalb salim ialah jantung rohani yang selamat dari kewujudan
sebarang syirik kepada Allah. Bahkan mengikhlaskan segala pengabdian untuk
Allah sama ada dari segi kehendak, cinta, tawakal, kembali kepadaNya, merendah
diri kepdaNya, takut dan harap – Ibnu
al-Qayyim, Tibb al-Qulub,37, Damsyik:Dar al Qalam.
“Apabila
daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila segumpal daging itu
rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak”
Kenapa
kalau jantung rohani kita baik maka seluruh tubuh kita juga akan baik?
Ya
betul sekali apa yang anda fikirkan! Apabila jantung rohani kita baik di dalam
erti kata ianya bersih dari syirik, penyakit2 hati dan selainnya maka seluruh
tubuh badan kita akan jadi baik juga.
Baik dari segi apa? Adakah kita akan mempunyai
badan yang tidak berpenyakit dan penuh dengan otot otot besar?
Tidak.
Sihat tubuh badan yang dimaksudkan adalah…
1.
Jantung rohani yang bersih dari syirik akan menghalang seorang insan itu untuk
bergantung selain kepada Allah. Nak jumpa bomoh? Pergi kubur minta no ekor?
Takut pada hantu? Mana mungkin semua itu akan terjadi apabila jantung rohaninya
bebas dari syirik dan hanya kepada Allah dia memohon pertolongan dan melahirkan
perasaan takut sebagai seorang hamba.
2.
Jantung rohani yang penuh dengan keikhlasan akan mendorong insan tersebut untuk
melaksanakan ibadat kepada Allah dengan penuh kesungguhan, ikhlas dan penuh pengharapan agar ibadatnya diterima
oleh Allah.
3.
Jantung rohani yang taat akan memimpin tubuh badan insan tersebut untuk
mengikut syariat Allah dan mencontohi sunnah Rasulullah (ittiba’) di dalam soal
ibadat kepada Allah. Pastinya perbuatan sesat mahu pun ibadah tambahan yang
tidak pernah dilakukan oleh Baginda di tolak dengan penuh ketaatan di dalam
hati walaupun sebelum ini dia seorang yang istiqamah dalam melaksanakannya.
4.
Jantung rohani yang bersih akan menghalang tubuh badannya daripada terjatuh ke
dalam lubang kemaksiatan. Jantung rohani yang bersih akan menjaga mata
pemiliknya daripada melihat perkara2 yang tidak baik untuknya. Telinganya akan
digunakan untuk mendengar sesuatu yang menambahkan kecintaan kepada Tuhannya
seperti bacaan ayat suci AlQuran, setiap derapan kakinya melangkah ke tempat
yang diberkahi Allah, tangannya tidak berat dari melakukan kebajikan untuk
orang lain sehinggakan tangan kiri tidak sedar kebaikan yang dilakukan oleh
tangan kanan
5.
Jantung rohani yang merdeka daripada segala penyakit hati seperti ujub, riak,
takbur, sombong dan hasad kepada orang lain membuatkan pemiliknya sentiasa
mensyukuri segala nikmat yang diberikan Allah kepadanya dan redha menerima
setiap ketentuanNya.
6.
Jantung rohani yang bulat keyakinannya, yakin bahawa jodoh dan rezeki sudah
ditentukan Allah dan dia yakin jika Allah menginginkan sesuatu untuknya maka
tiada siapa yang dapat menghalang dia untuk memperolehinya dan jika Allah tidak
berkehendak akannya maka tiada siapa yang mampu membantu dirinya untuk memilikinya.
Subhanallah!..segalanya
bermula dari seketul daging iaitu jantung hati!.. jantung hati yang bermasalah
pasti akan mendorong pemiliknya untuk bertindak melakukan sesuatu yang
menyalahi perintah Allah.
Mana
mungkin jantung hati yang penuh dengan kesyirikan akan menjadikan pemiliknya
bertakwa kepada Allah.
Di
dalam ilmu psikologi kaunseling Islam, ulama-ulama psikologi banyak mengaitkan
masalah psikologi dengan jantung rohani dan bagaimana nafsu iaitu musuh utama
jantung hati menjadi raja atau pun hamba kepada jantung hati. Bahkan mereka
menyifatkan segala tingkahlaku dan perbuatan manusia bermula dari jantung hati.
Di
dalam kita ihya’ tulisan imam Al-Ghazali, secara keseluruhannya dapat
dirumuskan bahawa aspek dalaman manusia iaitu roh, jiwa, jantung hati dan akal
mempengaruhi sifat-sifat luaran. Namun begitu, Iman Al-Ghazali menyatakan
bahawa aspek yang paling besar pengaruhnya kepada tingkahlaku manusia adalah
jantung hati.
Kenapa
kita terkadang mengalami stress atau tertekan? kerana jantung rohani kita
bermasalah. Kita tidak senang dengan nikmat yang Allah berikan kepada orang
lain. jantung rohani kita penuh dengan hasad dengki, jantung rohani kita tidak
yakin akan ketetapan Allah, jantung rohani kita tidak bertawakal dan berharap
sepenuhnya kepada Allah. akibatnya kita mengalami stress dan akhirnya penyakit
stress ini akan menjadi punca kepada permasalahan penyakit yang lain yang bukan
sahaja menyerang tubuh badan kita tetapi juga tingkahlaku kita sebagai seorang
Muslim. Begitu juga dari segi ibadat akan turut terganggu.
bahkan, kadangkala kita dihimpit penyakit
risau tentang sesuatu yang belum berlaku, tentang masa depan yang kita juga
tidak pasti adakah kita akan sampai kepadanya atau tidak. Dimana nilai tawakal
dan penyerahan kita kepada Allah? Mulut bicara tetapi jantung hati tidak yakin
sepenuhnya. Peringatan untuk saya terutamanya.
Tahukah
anda, Rasulullah S.A.W hanya memiliki beberapa helai uban sahaja. Sedangkan
kita semua tahu jalan hidup Rasulullah itu tidak mudah, dengan tanggungjawab
untuk menyampaikan Islam, menjadi pemimpin. Ditambah lagi dengan dugaan-dugaan
yang sangat hebat tetapi helaian uban Rasulullah tidak menunjukkan Rasulullah
mengalami tekanan sepanjang hidup baginda.
Tidak lain tidak bukan semua ini berlaku kerana Rasulullah memiliki qalb
salim. Segalanya terbukti apabila kita membaca sirah junjungan Rasulullah
S.A.W. amatlah rugi bagi kita yang mengaku cintakan Rasulullah lebih memilih
untuk membaca novel, majalah berbanding membaca sirah Baginda. banyak buku-buku
sirah yang boleh kita baca antaranya seperti syamail Muhammad, Raheeq mahktum,
fiqhus sirah dan sebagainya. malahan buku2 sirah ini boleh didapati dalam
bentuk E book jadi anda tidak perlu khuatir perlu membelanjakan wang untuk
membelinya Cuma perlu download.
Contohilah
sifat tawakal dan pergantungan baginda kepada Allah.. Allahuakbar..sangat
menakjubkan keyakinan jantung rohani Rasulullah kepada Allah.
Ada
satu cerita….
ketika itu Rasulullah sedang berteduh sambil
berbaring di bawah sepohon pokok. Baju baginda disangkutkan di dahan pokok itu
agar baju tersebut kering kerana telah basah dek terkena hujan. Sarung dan
pedang baginda juga ditanggalkan dari badan baginda. Ketika itu seorang kafir
sedang memerhatikan Rasulullah yang keseorangan kerana sahabat yang lain
berteduh di bawah pokok yang lain. jadi kafir itu tahu, itu adalah waktu
terbaik untuk menyerang Rasulullah yang keseorangan tanpa ditemani sahabat.
Tetapi kafir itu lupa bahawa Allah sentiasa bersama Rasulullah.
Lalu
kafir itu mendatangi dan mengambil pedang baginda lalu mengacukannya ke leher
Rasulullah sambil berkata “haa! Tiada siapa lagi yang mampu menyelamatkan
engkau!”
Lalu
dengan tenangnya Rasulullah menjawab “Allah yang melindungi aku”. Lalu orang
kafir tersebut menggigil dan melepaskan pedang tersebut dan baginda pula yang
mengambil pedang itu kembali dan mengacukannya ke leher kafir tersebut.
Subhanallah..lihatlah
betapa hebatnya keyakinan dan pergantungan baginda kepada Allah. Bagaimana jika
perkara yang sama berlaku kepada kita? apakah tindakan kita agaknya ya??
Simpan
jawapan itu buat diri anda sendiri..
“oleh
itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi(mengambil iktibar)
supaya mereka menjadi orang yang ada jantung hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang
dengannya mereka dapat mendengar (tetapi kalaulah mereka tidak mengambil
iktibar maka itu bukanlah mata mereka yang buta, tetapi buta jantung hati yang
berada di dalam dada” (al-Hajj:46).
Bersyukurlah
jika anda memiliki jantung rohani yang sihat. Jika anda pernah mengalami
kesakitan jantung rohani pasti anda akan menghargai ketenangan hati yang anda
miliki sekarang. Terkadang rasa jantung rohani ini sakit sangat sehingga mahu
sahaja di campakan hati tersebut dan digantikan dengan hati yang baru. Jantung
hati itu sifatnya berbolak balik. Kadangkala terasa tetap benar jantung hati
ini dalam membuat keputusan, alih-alih tiba2 je berubah jadi tidak yakin dengan
keputusan yang telah ditetapkan itu. Tetapi, perkara yang membahayakan ialah
apabila kita sudah diberi petunjuk yang lurus dalam agama tapi hati kita
berbolak balik pula.nauzubillah.. sebab itu wujudnya doa supaya kita diberi
ketetapan hati setelah diberi petunjuk. Begitu juga doa supaya Allah membersihkan
mahu pun menggantikan hati kita dengan hati yang baru.
Antara
cabaran yang terbesar bagi setiap insan sepanjang menjalani kehidupan di dunia
ini adalah membersihkan dan mengubati hati sehingga kita memiliki qalb salim
sebelum kembali kepada Allah. Di lingkaran ini lah kita perlu bermujahadah,
berjihad melawan segala tentangan yang datang seperti godaan syaitan dan nafsu
yang sentiasa cuba untuk menawan jantung rohani kita.
Banyak
buku yang boleh anda rujuki bagaimana untuk membersihkan dan mengubati hati dan di antara ulama yang
popular membahaskan mengenai persoalan hati ini adalah Ibnu Qayyim.
Sentiasa
ingat akan hadis ini
Sabda
Rasulullah S.A.W “Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ada segumpal daging. Apabila
daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila segumpal daging itu
rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, dia itu adalah jantung hati.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Saya
juga tidak mahu ketinggalan bersama sama anda
berjihad untuk memiliki Qalb salim!
Saya nak ucap terima kasih sangat2 kerana dah lama mencari jawapan tentang persoalan hati tu. Dan atas penerangan ni rasa lebih jelas sekarang. :-). Oh yaa, hanya sekarang pendapat. Mungkin boleh gunakan font yang lebih mudah lagi untuk di baca kerana sy rabun jadi agak sukar untuk membaca apabila text menggunakan font berangkai. Terima kasih.
ReplyDelete